Thursday, December 29, 2011

Ayam Goreng Kicap & Nasi Lemak Tumis


Assalamualaikum dan selamat petang buat anda semua yang sudi singgah ke sini....dah minum petang ke belum?? Agak-agak apa lah yang dihidangkan untuk minum petang ini!!

Hajat dihati ingin keluar ke Arab Street tapi apabila dah petang begini terasa malas pulak.....kebetulan hubby Nur sedang cuti hari ini....memang susah Nur nak bergerak jika dah petang-petang ini....duduk rumah lagi syok.....hehehe.

Okay lah ini Nur nak sambung kembali menu dua hari lepas ia itu Nasi Lemak yang Nur gandingkan dengan sambal tumis sotong kering.....nak update hari itu tak kesampaian pula.....ada saja yang menghalang...banyak tugas yang harus diselesaikan dulu.....kira-kira nak mengadap PC ini bila benar-benar tidak sibuk baru lah boleh mengadapnya. 

Tanpa banyak membuang masa sila lah tengok resipi di bawah ini. Rasanya seronok bila dapat kumpulkan resipi nasi lemak yang berlainan rasanya......Nur biarkan nasi lemak ini kelihatan seperti nasi beriani....Nur biarkan warna kuningnya tak sekata....itupun dah ternampak lebih kuningnya dari warna putih. Terima kasih Ziela berkongsi resipi....memang tergoda bila masuk ke dapur mamasya...semua masakannya nampak sedap-sedap belaka. 


Nasi Lemak Tumis
Resepi Asal; Jun @ MYR
Dikongsi Oleh; Dapurmamasya


Bahan-bahan ( 5-6 orang )
3 cawan beras
2 cawan santan
2 cawan air
1/2 sudu besar halba
1 daun pandan
1 cm halia-hiris halus
1 batang serai-titik
2 biji bawang merah-hiris
garam secukup rasa
1 sudu minyak + 1 sudu minyak sapi

Cara-Cara
1. Panaskan kedua-dua minyak, tumis bawang dan halia hingga garing. Masukkan air dan juga santan, kacau hingga pecah minyak.
2. Bila mendidih, masukkan beras, daun pandan, halba, serai dan  garam. Masak seperti nasi lemak biasa..
3. Hidangkan bersama sambal tumis ikan bilis/udang/sotong, timun, telur dan ikan bilis goreng atau mengikut citarasa sendiri.

Nota Dapurmamasya
Utk nasi lemak kuning ni , tambah 1 sb kunyit semasa masukkan santan dan air - Nur pula gunakan sedikit pewarna kuning.

****************Photobucket****************



Yang ini pula ayam goreng bersama kicap cair....resipi ini dipunyai oleh biras Nur....dulu-dulu Nur suka gunakan resipi ini lebih-lebih lagi hubby suka perahan air limau kasturi.....ia suka pada rasanya yang masam sedikit.....kalau buat Nur dua biji air perahan limau kasturi itu dah mencukupi.

Dah agak lama benar Nur tak goreng ayam seperti ini.....apabila ayam telah digoreng takut juga jika anak-anak tidak suka tapi rupa-rupanya mereka suka....lebih-lebih lagi anak yang bongsu suka sekaliiii......hehehe.


Ayam Goreng Kicap
Resipi oleh: Puan Roita 
Sumber: Nuridah Salleh


Bahan-Bahan
1 kg kepak ayam direndam bersama air garam sebentar. Dicuci bersih dan toskan.
2 sudu kicap cair
2 biji limau kasturi
sedikit perasa aji-no-moto (jenis yang halus)


Cara-Cara
1. Ayam yang telah dicuci bersih digaul bersama kicap cair.
2. Limau Kasturi di belah dua dan perahkan airnya keatas ayam tadi.
3. Masukkan sedikit ajinomoto.
4. Perapkan dalam masa 15 minit dan goreng hingga warna keperangan.


****************Photobucket****************

Tuesday, December 27, 2011

Sambal Sotong Kering


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.......apa khabar anda semua dan juga kawan-kawang blogger?? Harap semuanya berada dalam sehat sejahtera dan sentiasa dalam lindungan Allah.

Apabila dah lama tidak ke udara rasanya lidah kelu untuk berkata-kata....hahahaha.....akak buat muka dua puluh sen aja la ya!!!! 

Hidangan buat hari ini Nur sediakan Nasi Lemak Tumis buat keluarga dan sampingannya lauk sambal tumis sotong kering.....fuyooohhhh....makan bertambah ini....kembang tolak tepi dulu....asalkan keinginan nak sumbat mulut dulu diutamakan....hehehe....buruk aja erk bunyinya kan?? Resipi asal dari Diana yang Nur ambil dari blog Chetam. Terima kasih Chetam kerana berkongsi resipi Diana ini. Izinkan Nur panjangkan resipi ini di sini.   



Sambal  Sotong Kering Keluarga Diana 
Sumber: Chetambiz Blogspot
Dikongsi bersama: Nuridah Salleh




Bahan-Bahan
1/2 kilo sotong kering, dibersihkan buang tulang dan potong persegi kecil dan rendam dengan abucang semalaman
1 cawan air (ditambah sekiranya perlu)
1/2 cawan air asam jawa yang pekat
seketul gula melaka
1/2 cawan gula pasir
garam dan serbuk perasa
1 cawan minyak


Untuk Dikisar
40 tangkai lada kering
3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
4 batang serai
1 cm lengkuas
2 cm belacan

Cara-Cara
1. Bersihkan sotong yang telah direndam semalaman dan toskan airnya. Didihkan air dan masukkan sotong dan masak untuk 15 minit. Kemudian toskan airnya.
2. Panaskan minyak di kuali, tumis bahan-bahan yang dikisar sehingga naik bau. Masukkan gula melaka, gula pasir, garam, serbuk perasa dan air asam jawa. Kacau sehingga sebati.
3. Kemudian masukkan 1 cawan air dan masukkan sotong. Masak sehingga sotong empuk dan rempah kering.
4. Kalau sotong belum empuk boleh ditambahkan dengan sedikit air lagi. Rasa jika ada yang kurang tambah garam atau gula secukup rasa.

****************Photobucket****************

Tuesday, December 20, 2011

Tauhu Goreng Singapura


Assalamualaikum ..............

Ini ada lah satu hidangan apabila tekak tak teringin nak makan nasi....hanya menginginkan yang simple dan ringkas untuk santapan yang ringan.....senang cakap malas lah tu.....hehehe....

Rasanya dah beberapa kali Nur masukan entri Tauhu Goreng tapi dengan berlainan sedikit resipi. Ok kali ini resipi dari Chef Wan.....okay lah berbalik pada resipi tak payah lah Nur berbual panjang dan merepek panjang-panjang....buang-buang karen aja kan!!! 


Tauhu Goreng Singapura
Resipi dari buku sedapnyaaa....Chef Wan
Sumber resipi: Nuridah Salleh



Bahan-Bahan
minyak masak untuk menggoreng terendam
10 keping tauhu keras
2 batang timun, dihiris nipis
200 gm tauge, dibuang ekor dan dicelur

Bahan Untuk Kuah Kacang
15 ulas bawang putih dikupas
15 tangkai cili padi
600 gm cawan kacang tanah digoreng tanpa minyak
4-6 sudu besar gula melaka parut atau gula perang
5 sudu besar kicap pekat
3 sudu besar cuka atau air asam - lebih sedap gunakan air asam
250ml  atau 1 cawan air


Cara-Cara

1. Kisar bawang putih dan cili padi
2. Alih ke dalam mangkuk dan tambah gula melakat atau gula perang, kicap
pekat dan cuka atau air asam. Campur air dan kacau rata.
3. Rasa masam manisnya mengikut selera.


Cara Menyediakannya

1. Panaskan minyak masak dan goreng terendam tauhu sehingga kekuningan. Tuskan.
Potong tauhu menjadi 8 keping.
2. Atur tauhu di atas pinggan hidang diikuti dengan timun serta tauge.
3. Tuang kuah kacang ke atasnya dan hidangkan segera.


****************Photobucket****************

Monday, December 19, 2011

Nasi Goreng Kampung


Assalamualaikum dan selamat pagi pada anda semua!!!

Haaaa dari semalam hujan tidak berhenti terus membasahi bumi hingga lah ketika dan saat ini....cuaca sejuk ini memang enak kan kalau tarik selimut tak perlu penghawa dingin tapi Nur tengok anak Nur tidur masih dengan alat hawa dingin.....ish lagi sedap lah dia tidur tak ingat dunia......

Semalam untuk memanaskan badan Nur hidangkan nasi goreng kampung untuk sarapan pagi. Nur masak apa yang ada dalam fridge....mungkin dilain waktu jika teringin nak makan nasi goreng kampung boleh lah bubuh sayur kangkung....biasa kalau disini tak nampak pulak ada orang letak sayur kangkung dlm nasi goreng kampung. Waktu balik kekampung dulu pun tak pernah nampak mak ngah bubuh sayur kangkung dalam nasi gorengnya.....yang bahan utamanya ia lah cili padi.....nahhh kau berasap telinga....

Okay setelah penat mencari resepi....resepi dibawah ini yang berkenan dihati kerana cara penulisan resepinya yang senang difahami serta kemas dan ringkas. Boleh adjust sukatan cilipadi mengikut citarasa sendiri. Untuk family Nur kalau makan nasi goreng atau mee goreng mesti nak ada ayam goreng baru ada side kick Jet Li...hahaha!!!
  

Nasi Goreng Kampung
Resipi di adaptasi dari blog: Wendy@Table for 2
Dikongsi bersama: Nuridah Salleh 


Bahan (A)
1/2 biji bawang merah yang sederhana 
1 biji bawang kecil 
2 biji bawang putih 
4 biji cili padi ataupun lebih mengikut citarasa - Nur tambahkan dengan beberapa biji cili merah
1 sudu besar penuh ikan bilis goreng atau ikan bilis 
1 sudu besar minyak masak 

Bahan (B)
½ cawan kacang panjang dihiris kecil
1 ikat sayur kangkung



Bahan (C )
2 cawan nasi sejuk
2 biji telur
2 sudu besar ikan bilis - (tidak perlu dicuci untuk mendapatkan ikan bilis yang garing rasanya)
 Cara Nur:  rendam sebentar untuk menghilang sedikit kemasinan ikan bilis itu, kemudian boleh lah digoreng hingga garing.
3 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil garam


Cara Menyediakan

1. Kisar bahan A kecuali minyak.
2. Panaskan kuali pada suhu sederhana. Masukkan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing.
Angkat dan ketepikan.
3. Dengan baki lebihan minyak tadi masukkan bahan (A) serta 1 sudu kecil garam. Tumis perlahan hingga bertukar warna keperangan.
4. Masukan nasi dan besarkan sedikit api. Kacau rata dan tolak nasi ketepi.
5. Pecahkan telur dan letak ditengah serta kacau telur tadi. Tutup nasi diatas telur dan lambung
kuali dengan hati-hati agar telur pecah dengan ratanya. Goreng seketika.
6. Masukan kacang panjang dan dan lambung sedikit kuali hingga 15 saat dan diikuti dengan sayur kangkung dan lambung sedikit hingga 5 saat. Padamkan api dan sajikan ketika panas bersama telur mata kerbau/mata lembu jika suka.

Friday, December 16, 2011

Bubur Terigu


Assalamualaikum dan salam petang buat semua......

Cuaca hari ini nampak cerah dan agak panas sedikit, tepat sangat lah kalau disaat ini ada yang ingin keluar berjalan atau kemana saja sempena masih cuti sekolah ini.....hmmm dipendekkan  cerita dan tanpa membuang masa Nur update entri untuk hari ini. 

Ini kali pertama Nur buat bubur terigu.....my hubby minta tolong masakkan bubur ini...Nur jawab eh I tak tau lah masak bubur ini....hubby kata senang aja masak macam pulut hitam....so bila dah google di internet roughly dah dapat tau dan agak macam mana nak menyediakan bubur ini.....so resepi dibawah ini sebagai panduan...Nur buat setengah dari resepi asal.....itupun dah terlalu muai buat hubby sebab Nur tak berapa gemar makan bubur seperti ini. Okay terima kasih pada puan punya resepi...minta izin dikongsi disini. 


Bubur Terigu
Resepi dari: kh267tm@myresepi
Sumber: Nuridah Salleh


Bahan-Bahan
1 pkt terigu (biji gandum)
3 liter air
350gm gula melaka
100gm gula pasir
500ml santan (1/2 kotak santan kara dicampur air)
1/2 sudu teh garam
4 helai pandan disiat dan simpulkan


UTK SANTAN PUTIH :-
1/2 kotak santan**
1/2 cwn air **
1 sudu teh garam **


Cara-Cara

cuci terigu saperti kita mencuci beras...buangkan air keruhnye..kemudian direndam bersama 3 liter air selama 1 jam.
masak gula melaka dgn sedikit air sehingga larut kemudian ditapis...ketepikan.
rebus terigu bersama pandan sehingga lembut (lebih kurang 1/2 jam), matikan api dan tutup periuk...biarkan ia mengembang (lebih kurang 30-45 minit)
setelah mengembang..hidupkan semula api dan masukkan santan, gula melaka, gula pasir dan garam..masak hingga mendideh, kecilkan api biarkan ia merenih sebentar...cukupkan rasanye dan matikan api.
satukan bahan bertanda ** dan masak atas api yg kecil sambil dikacau2 sehingga mendideh.

***masukkan bubur terigu kedlm mangkuk dan siramkan diatasnye dgn 1 sdm santan putih...boleh lah dihidangkan...

Thursday, December 15, 2011

Serimuka


Assalamualaikum dan selamat malam.............

Apa khabar kawan-kawan??? Harap semuanya sihat dan perjalanan hidup berjalan dengan lancar seperti biasa. Dah beberapa hari ini agak malas sedikit nak update blog....bila tak mengadap computer...rasanya  banyak kerja yang dapat dilaksanakan....biasalah kadang apabila dah kepenatan nak mengemaskini blog sendiri pun jadi malas!!! Biasa lah tu kan. Terima kasih pada yang sudi singgah disini walaupun kita tak update
blog ini. Okay nanti Nur akan luangkan masa membalas kunjungan anda....buat masa ini kita agak sibuk sedikit.

Dua hari yang lepas Nur buat kuih kegemaran Nur ia itu serimuka.....resepi ini dah beberapa kali Nur cuba....tapi kali ini lapisan dibawah agak melekit dan kurang cantik sedikit. Waktu Nur tekan pulut ini tengok cantik aja kejadiannya....tapi apabila telah dipotong nampak macam  melekit seperti getah. Lain kali Nur akan simpan stok beras pulut Thai yang biasa Nur gunakan....rasanya lebih cantik bila dah dikukus.

Bila tengah kukus lapisan atas tiba-tiba gas habis pulak....aduhhh nasib baik jadi...kalau tidak hmmm mau melayang ke tong sampah!!!   


Serimuka
Resipi: nanaSham@myresepi
Sumber: Nuridah Salleh


Bahan-bahan ( size loyang 22cm / 3'' )
Bahan lapisan bawah:-
500gm beras pulut
400ml santan cair
1 st garam
2 sm minyak
Bahan lapisan atas:-
120gm tepung gandum
3 sm tepung jagung
140gm gula
3 biji telur
450ml santan pekat
1/2 st garam
300ml air + 10 helai daun pandan dikisar utk dijadikan air pandan (bagi yg tak mudah nak dptkan daun pandan..boleh digantikan dgn 1 st pandan paste)


Cara-cara
Untuk lapisan bawah:-
A) Sediakan kukusan terlebih dahulu. Biarkan air mendidih.
B) Bersihkan beras pulut dan direndam selama 10-20min.
C) Toskan beras pulut. Tak perlulah lama2 sekejap je pon boleh.
D) Satukan semua bahan2 didlm loyang dan dikacau sedikit agar minyak dapat diratakan.
E) Kukus diatas kukusan yg telah sedia mendidih selama 20-30min.
F) Keluarkan loyang dari kukusan dan ratakan permukaan pulut tadi. Siap untuk dilapis dgn lapisan atas.


Untuk lapisan atas:-
1) Pukul gula bersama telur hingga kembang..sikit je pon boleh.
2) Masokkan santan yg telah dilarutkan bersama garam. Diikuti dgn air pandan dan dipukul/dikacau lagi...
3) Akhir sekali ayakkan tepung gandum & tepung jagung ke dlm adunan tadi. Dipukul/dikacau lagi agar tidak berbiji. Hendakla ditapis adunan ini dan siap untuk dikukus!!
4) Sekali lagi dgn kukus yg sedia mendidih tapi INGAT api biar sederhana aje...letakkan loyang yg berisi pulut tadi tu....kedlm kukusan dan dgn perlahan tuangkan lapisan atas. Kukus la selama 45min atau 1jam....
PERINGATAN...kuih ini hendak la betol2 sejuk barula mudah dipotong n cantik dihidangkan...jadi SELAMAT MENCUBA!!

Monday, December 12, 2011

Dalca Tulang Rusuk

Selamat pagi dan salam sejahtera buat pengunjung blog Fiqah99......semoga anda semua berada dalam keadaan sihat dan senantiasa dalam rahmatnya. 

Musim sibuk bulan gerhana dah pun berlalu....kita pun ikut sibuk juga...ingin mengetahui betapa besarnya keagungan illahi....ciptaan nya....segala nikmat puji bagi mu ya Allah!!

Resipi yang ingin dikongsi hari ini lauk dalca....one of my favourite dish...resipi ada pelbagai cara untuk memasaknya....antara sedap ataupun tidak...terpulang pada cita rasa masing-masing....lauk dalca ini kalau benar-benar inginkan rasanya yang sedap seharusnya mengunakan tulang rusuk daging kambing....baru lah ada kick kata orang Singapura....tapi untuk menjaga kesihatan lebih baik lah gunakan tulang  rusuk daging lembu......kalau daging aja kurang kick pulak...kalau dimajlis perkahwinan, biasa catering selalu suka gunakan daging tetelan....maalum lah tetelan kan harganya agak murah sedikit dan rasanya pun lagi sedap bagi pengemar tetelan. Apa-apa pun  terpulang pada diri sendiri....the choice is yours!!! Okay lah tak mahu membuang masa...masa itu emas...kadang pun kalau berpanjang lebar berceloteh tak tau orang suka baca ataupun tidak...ibarat seperti kita syok sendiri gitu...hahaha.


Dalca Tulang Rusuk
Peyumbang resipi: Bro Rozzan
Sumber: Nuridah Salleh


Bahan-bahannya
1 kg rusuk kambing - Nur gunakan tulang lembu
350 gm dal kacang kuda
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia 1 batang serai (titik)
6-8 sudu besar (mumbung) rempah kari daging atau rempah dalca 3-4 biji kentang (kupas kulit dan belah 2 atau 4)
3 biji tomato (belah 2)
300 gm kacang panjang (potong kecil2)
1 batang lobak merah (potong ikut citarasa)
1 biji terung (potong ikut suka)
3 batang lada hijau
beberapa biji belimbing buluh /mangga muda (belah 2/4)- (optional)
2 senduk minyak masak
secukup cengkih, pelaga & kayu manis
5 tangkai daun kari
1 biji bawang besar hiris
sedikit air asam jawa
2 cawan santan pekat
garam secukupnya
serbuk perasa (jika suka)


PERATURANNYA:
1. Rebus tulang rusuk bersama air secukupnya sehingga empuk.
2. Rebus kacang dal berasingan hingga empuk.
3. Kisar bawang besar, bawang putih dan halia dgn sedikit air. Campurkan bersama rempah kari/dalca.
4. Panaskan minyak lalu tumis bawang besar hiris, serai, cengkih, pelaga, kayu manis dan daun kari.
5. Masukkan bahan kisar tadi dan kacau hingga garing.
6. Setelah itu, masukkan tulang rusuk tadi bersama airnya sekali. Jikalau airnya kurang, boleh ditambah ikut suka.
7. Kemudian masukkan sayur-sayuran dgn dimulakan yg keras2 seperti kentang dan lobak merah sehingga ianya 3/4 masak. Kemudian baru masukkan yg lain sprti kacang panjang, terung, mangga muda, dll. Lepas tu, masukkan air asam dan kacang dal. Kacau sebentar lalu masukkan santan, garam dan perasa. Kacau lagi dan biarkan sehingga mendidih.
8. Kecilkan api dan biarkan sebentar (kira-kira 5 minit) sebelum dimatikan api dan sedia utk dihidangkan .


Nota dari bro Rozzan: Cara almarhumah ibu saya memasak dalca pula; selain bahan2 di atas, setelah beliau menumis bawang besar hiris, beliau akan taruh kira-kira 1 senduk cili kering kisar dan tumis hingga cili garing. Setelah itu, barulah beliau masukkan bahan2 kisar yg lain.



****************Photobucket****************

Friday, December 9, 2011

Shabsuka


Assalamualaikum dan selamat petang....

Pasti pada ketika ini semua tengah berihat setelah penat memasak didapur...petang begini jika dapat menghirup secawan kopi panas bersama pisang goreng alangkah indahnya?? Kita ini lain kerja tak ada suka nak makan pisang goreng...lebih-lebih lagi kalau yang rangup-rangup lagi lah laju kita makan....ish kecur air liur nie.

Hari ini Nur ingin berkongsi resipi Shabsuka dari Bro Rozzan....hidangan ini sebenarnya adalah hidangan semalam....hari ini kita tak masak....kita goyang kaki aja....haha...Okay lah mari kita lihat  resipi jika ada yang sudi nak mencubanya.


Shabsuka
Resepi asal: Bro Rozzan
Dikongsi oleh: Nuridah Salleh


Bahan-Bahan
500 gm daging kisar (atau daging yg dipotong kecil-kecil)
3 sudu makan cili kering kisar
4 ulas bawang putih }
½ inci halia } …..(tumbuk halus)
4 sudu makan rempah kari
1-2 sudu makan tairu (optional)
1 biji bawang besar (dipotong dadu)
2 biji tomato (dipotong dadu)
1 cawan kecil sayur campuran (mixed vegetable) - Nur tak letak
2 sudu teh puri tomato
4-5 sudu makan sos tomato
3 sudu makan minyak sapi
2 sudu teh gula (atau secukup rasa)
garam secukup rasa


Bahan Untuk Tabur Atas Daging
2 biji bawang besar (potong dadu)
2 biji tomato (potong dadu)
sedikit daun pudina - (Nur tukar pada daun saderi)
sedikit daun ketumbar
1-2 btg lada hijau (hiris)
1-2 btg lada merah (hiris)
2 sudu mkn bawang goreng (optional)
4 biji telur (dikocok sedikit, bubuh garam) - Nur buat telur mata kerbau


Cara:
1) Daging kisar digaul dengan bawang putih, halia, tairu dan rempah kari. Perapkan selama 20 minit.

2) Panaskan minyak sapi dalam kuali dan tumis bawang besar hingga layu. Masukkan pula cili. Masak hingga cili garing.

3) masukkan daging yg telah diperap tadi dan kacau rata. Kalau perlu bubuh sedikit air.

4) Apabila daging ¾ empuk, masukkan puri tomato, sos tomato, sayur campuran dan tomato dadu. Kacau lagi dan bubuh garam & gula. Sesuaikan rasanya (masam, manis, etc) mengikut selera anda. Biarkan sebentar lagi sebelum diangkat. Bahan ini jgn terlalu cair atau terlalu pekat.


Cara Penyediaan Shabsuka
1) Daging yg telah dimasak tadi dibubuh dalam pinggan pyrex. Ratakan.

2) Taburkan bahan-bahan seperti, bawang/tomato dadu, cili merah/hijau hiris, daun pudina/ketumbar dan bawang goreng. Akhir sekali, siramkan telur ke atasnya.

3) Bakar selama kira-kira 20 -30 minit dalam ketuhar biasa atau 5-7 minit dalam ketuhar gelombang mikro.

4) Hidangan ini sesuai dimakan bersama roti.


****************Photobucket****************